Strok, atau dikenali sebagai serangan otak, berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak anda terhalang atau apabila saluran darah di otak pecah.
Disebabkan oleh masalah saluran darah tersebut, bahagian otak tersebut akan menjadi rosak atau mati.
Setiap minit semasa berlakunya serangan otak adalah sangat penting! Jika pesakit mendapatkan rawatan yang pantas, ia boleh mengurangkan kerosakan otak.
Mengenal pasti simptom-simtpom dan rawatan serangan otak dapat membantu anda untuk mengambil tindakan pantas dan mungkin menyelamatkan nyawa anda atau orang lain.
Di dalam artikel ini, kami akan menerangkan kepada anda tentang punca, simptom dan rawatan bagi mengatasi masalah strok ini.
Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!
Punca Berlakunya Masalah Strok
Sesiapa sahaja boleh diserang strok, tidak kira umur anda berapa. Tetapi terdapat perkara tertentu boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami serangan otak.
-
Kolesterol tinggi
Kolesterol merupakan sterol, sejenis lipid atau lemak yang dihasilkan oleh hati dan juga terdapat dalam makanan-makanan tertentu.
Hati anda menghasilkan jumlah kolesterol yang mencukupi untuk keperluan badan anda, namun kita sering mendapat kolesterol berlebihan daripada makanan yang kita makan.
Jika kita mengambil jumlah kolesterol yang terlalu banyak, kolesterol tambahan boleh terkumpul di dalam arteri, termasuk di otak. Ini boleh menyebabkan penyempitan arteri dan strok.
-
Tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi adalah salah satu punca utama berlakunya serangan strok. Ia berlaku apabila tekanan darah dalam arteri anda dan saluran darah yang lain terlalu tinggi.
Anda digalakkan untuk selalu membuat pemeriksaan tekanan darah di klinik atau hospital supaya masalah ini dapat dielakkan.
Jika anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda boleh menurunkan tekanan darah melalui perubahan gaya hidup atau dengan mengambil ubat.
-
Masalah jantung
Di samping itu, masalah kesihatan jantung juga boleh meningkatkan risiko anda untuk menghadapi serangan strok.
Sebagai contoh, penyakit arteri koronari meningkatkan risiko serangan strok kerana plak yang terkumpul di dalam arteri akan menghalang aliran darah dan oksigen ke otak.
-
Kencing manis
Diabetes menyebabkan gula terkumpul dalam darah dan menghalang oksigen dan nutrien daripada sampai ke pelbagai bahagian badan anda, termasuk otak anda.
Kekurangan darah ke otak tersebut akan menyebabkan serangan otak berlaku. Masalah tekanan darah tinggi juga sering berlaku kepada mereka yang menghadapi kencing manis.
Pilihan gaya hidup yang tidak sihat juga boleh meningkatkan risiko anda untuk diserang strok. Antaranya adalah seperti:
- Makan diet yang tinggi dengan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol
- Kurang melakukan senaman
- Merokok
Simptom-simptom Strok
Terdapat beberapa simptom-simptom berlakunya strok yang anda perlu tahu:
-
Lumpuh dan kebas
Salah satu simptom utama serangan otak adalah kelumpuhan atau sensasi kebas pada bahagian muka, kaki atau lengan anda dan biasanya berlaku pada sebelah badan sahaja.
Jika anda mengangkat kedua-dua tangan anda ke atas kepala pada masa yang sama dan sebelah tangan mula jatuh, anda mungkin mengalami strok.
Selain itu, sebelah mulut anda juga mungkin terjatuh apabila anda cuba untuk senyum.
-
Masalah bercakap
Selain itu, masalah bercakap dan kesukaran untuk memahami apa yang orang lain katakan juga merupakan simptom utama serangan otak.
Kata-kata anda mungkin akan bercelaru dan anda mungkin mengalami kekeliruan yang teruk.
-
Masalah berjalan
Jika anda mengalami serangan otak, anda mungkin tersandung atau hilang keseimbangan ketika berjalan. Anda juga mungkin berasa pening dan hilang koordinasi.
-
Sakit kepala
Sakit kepala yang mendadak dan teruk, yang disertai dengan muntah, pening atau kesedaran yang berubah, mungkin menunjukkan bahawa anda sedang mengalami strok.
-
Masalah penglihatan
Serangan otak juga boleh menyebabkan berlakunya masalah penglihatan pada sebelah atau kedua-dua mata.
Anda mungkin tiba-tiba mengalami penglihatan kabur atau hitam pada satu atau kedua-dua mata, atau anda mungkin melihat dua kali ganda.
Rawatan Untuk Masalah Strok
-
Pembedahan
Salah satu rawatan bagi mengatasi masalah strok adalah dengan pembedahan yang dilakukan oleh doktor pakar. Pembedahan boleh mengeluarkan bekuan darah dan plak dari arteri anda.
Pembedahan ini boleh dilakukan dengan kateter. Jika bekuan darah itu sangat besar, pakar bedah akan membuka arteri anda untuk membuangnya.
-
Fisioterapi
Kekuatan otot anda mungkin menjadi lemah akibat strok, dan anda mungkin mendapati bahawa anda tidak boleh menggerakkan badan anda seperti sebelum serangan strok anda.
Pergerakan anda akan terbatas dan ini akan menjejaskan rutin harian dan kualiti hidup anda. Perkara biasa seperti berdiri dan berjalan akan menjadi sukar untuk dilakukan.
Melalui fisioterapi, anda boleh mendapatkan semula kekuatan otot dan keseimbangan anda supaya anda boleh menjalankan rutin harian anda seperti biasa semula.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca, simptom dan rawatan bagi mengatasi masalah strok yang anda perlu tahu.
Jadi, anda perlu mengamalkan amalan gaya hidup sihat bagi memastikan kesihatan yang berpanjangan.