Tahukah anda, seorang daripada setiap empat orang akan diserang angin ahmar sekali dalam seumur hidup mereka.
Ni bukan rekaan ya, ini statistik yang dikeluarkan oleh Badan Angin Ahmar Sedunia atau World Stroke Organisation (WSO).
Di Malaysia, strok atau angin ahmar merupakan penyebab ketiga berlakunya kematian khususnya dalam kalangan golongan warga emas dan yang sudah lanjut usia.
Tapi, jangan sangka ianya hanya menyerang warga emas, sesiapa pun boleh menghidap angin ahmar tau!
Jom teruskan baca supaya anda tidak abaikan gejala-gejala awal penyakit ini.
Apa Itu Angin Ahmar dan Jenis-jenis Angin Ahmar?
Sebelum kita melihat gejala-gejala awal angin ahmar, jom kita ketahui sedikit berkaitan penyakit ini dan jenis-jenisnya.
Strok atau angin ahmar merupakan satu kondisi apabila berlakunya penyempitan salur darah atau salur darah pecah di bahagian otak.
Apabila keadaan ini berlaku, bekalan oksigen ke bahagian otak akan berkurangan dan mengakibatkan sebahagian tisu otak rosak.
Apa yang berlaku adalah terdapat bahagian-bahagian otak yang kematian fungsi.
Seperti kita tahu, otak kita mengendalikan semua perkara seperti pergerakan atau fungsi motor, percakapan dan banyak lagi.
Bila seseorang terkena angin ahmar, terdapat fungsi-fungsi ini yang tidak lagi dapat dilakukan dengan lancar.
Terdapat dua jenis utama angin ahmar iaitu:
- Ischemic Stroke
Ia berlaku apabila aliran darah ke otak terhalang (sempit atau tersumbat) dan menyebabkan bekalan oksigen sampai ke otak terjejas.
Kejadian ini mengakibatkan sel otak mati walaupun hanya beberapa minit.
Lazimnya, sebanyak 87% kes angin ahmar yang terjadi merupakan ischemic stroke.
- Hemorrhagic Stroke
Ia berlaku apabila salur darah arteri ke bahagian otak pecah.
Keadaan ini akan meningkatkan tekanan pada bahagian otak dan mengakibatkan sebahagian dari tisu otak rosak.
Gejala Awal Angin Ahmar yang Harus Diperhatikan
Tanda awal angin ahmar yang dikenali sebagai ‘BE FAST’ boleh berlaku dengan tiba-tiba.
Oleh itu, mengetahui tanda-tanda awal penyakit ini dan mengesannya apabila ia berlaku mampu menyelamatkan nyawa pengidapnya.
B = Balance (Keseimbangan)
Hilang keseimbangan, sakit atau pening kepala yang kuat tanpa sebab serta rasa celaru dan keliru.
E = Eyes (Penglihatan)
Penglihatan menjadi kabur secara tiba-tiba sama ada sebelah mata atau kedua-dua mata.
F = Face (Muka)
Muka mungkin boleh merasa kebas pada sesetengah bahagian, muka menjadi herot sebelah dan muka tidak sekata.
A = Arm (Lengan)
Tangan menjadi lemah sehingga tidak boleh diangkat atau tidak mampu memegang sesuatu objek.
S = Speech (Percakapan)
Percakapan tidak jelas di mana pesakit mungkin tidak boleh bercakap langsung, tidak faham percakapan, ayat tidak tersusun atau ayat tiada maksud.
T = Time (Masa)
Hubungi talian kecemasan atau terus ke hospital dengan segera kerana masa bagi pesakit strok sangat berharga.
Risiko Penyumbang Angin Ahmar
Terdapat pelbagai faktor risiko yang boleh menyumbang kepada penyakit ini.
Ada yang tidak boleh dikawal, ada yang boleh dikawal.
Faktor risiko yang tidak dapat dikawal adalah:
- Umur – Semakin umur meningkat, semakin tinggi risiko untuk anda mendapat penyakit ini terutamanya apabila mencecah 65 tahun dan ke atas.
- Jantina – Kes penyakit ini lebih kerap berlaku dalam kalangan kaum wanita berbanding kaum lelaki.
- Sejarah keluarga – risiko menghidap penyakit ini boleh meningkat jika anda mempunyai isu kesihatan genetik seperti tekanan darah tinggi.
Faktor risiko angin ahmar yang boleh dikawal di sini bermaksud perkara-perkara yang masih berada di bawah kawalan kita.
Oleh itu, tindakan boleh diambil untuk memastikan risiko berkurangan.
Faktor risiko yang boleh dikawal adalah:
- Tekanan darah tinggi
- Kencing manis
- Paras kolestrol tinggi
- Merokok
- Berat badan berlebihan
- Cara hidup sedentari (tidak aktif)
- Tekanan & stres
- Pemakanan tidak sihat – kurang serat & tinggi kandungan lemak
- Minuman keras secara berlebihan
Rawatan Fisioterapi Untuk Rehabilitasi Pesakit Angin Ahmar
Apabila seseorang itu menghidap penyakit ini, rawatan yang terbaik adalah melalui fisioterapi.
Antara rawatan untuk rehabilitasi pesakit adalah:
- Senaman Menguatkan Otot
Fisioterapi akan memberikan senaman yang bersesuaian untuk pesakit ini bagi membantu mengembalikan kekuatan otot.
Senaman ini amat penting supaya pesakit dapat kembalikan kekuatan terutamanya bagi menjalankan aktiviti harian.
- Neuromuscular Electrical Stimulation (NMES)
Stimulasi elektrik digunakan bagi rawatan ini bagi membantu melatih dan mengajar semula otot bagi melakukan pergerakan asal.
Bunyi macam menakutkan kan? Tapi, jangan risau kerana ianya selamat dan terbukti berkesan.
- Latihan Keseimbangan & Gait Training
Latihan fisioterapi ini membantu pesakit terutamanya mereka yang mempunyai masalah keseimbangan untuk berjalan semula dan meningkatkan keseimbangan sewaktu berjalan.
Ini adalah antara rawatan-rawatan fisioterapi yang boleh membantu pesakit untuk kembali pulih.
Flex Physiotherapy merupakan pusat rawatan fisioterapi yang telah beroperasi sejak 2018 yang komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
Dengan Flex Physiotherapy, anda tidak perlu risau kerana kami menjaga privasi ketika rawatan di mana ahli terapi perempuan untuk pesakit perempuan dan sebaliknya.