fbpx

Ibu Ayah Wajib Tahu Apa Maksud Anak Lewat Perkembangan Supaya Tak Bandingkan Dengan Anak Orang Lain

 

Pengenalan

Tumbesaran dan perkembangan bayi dan kanak-kanak adalah perkara yang penting bagi yang bergelar ibu bapaIbubapa yang peka tentang fasa tumbesaran dan perkembangan anak mereka dari dilahirkan sehingga dewasa dapat membantu dalam perkembangan fizikal, kognitif, bahasa, sosial, moral, personaliti dan sebagainya. Selain itu, ia juga membantu dalam proses melatih dan mendidik anak-anak mengikut keperluan bersesuaian dengan tahap kefahaman bayi atau kanak-kanak tersebut.

Setiap bayi atau kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza. Maksud sebenar lewat perkembangan adalah kelewatan perkembangan seorang kanak-kanak jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain dalam lingkungan umur yang sama dari segi perlbagai aspek.

 

Aspek Perkembangan

Antaranya ialah:

Pergerakan anggota badan secara halus dan/atau kasar (fine and/or gross motor skills) macam memegang objek, menulis, merangkak, melompat dan sebagainya.

 

Minda/pemikiran/kognitif  (cognitive) macam berfikir untuk selesaikan tugasan atau buat sesuatu dan sebagainya.

 

Percakapan dan bahasa (speech and language) seperti bertutur, berkomunikasi secara verbal dan mengucapkan ayat untuk difahami.

 

Sosial Emosi (Social Emotional) macam memberi reaksi, emosi  dan respon bahasa badan yang betul mengikut situasi dan stimulasi  yang betul.

 

Aktiviti hidupan harian (activities of daily living) macam makan, minum, membersihkan diri dan sebagainya.

 

Kelewatan perkembangan ini pula boleh bersifat sementara atau kekal. Sebab kebiasaan kelewatan yang bersifat sementara ialah bayi lahir pramatang atau mempunyai masalah kesihatan atau kemasukan ke hospital dalam jangka masa yang lama atau kekurangan peluang untuk kanak-kanak belajar skil baru dan mendapat tekanan/stres dalam keluarga. Kelewatan sebegini biasanya mengambil masa yang sementara untuk mencapai tahap optimum perkembangan mereka.

Kelewatan perkembangan yang bersifat kekal pula biasanya menunjukkan masalah dalam satu atau lebih dalam aspek-aspek seperti pemahaman dan pembelajaran, pergerakan, komunikasi, pendengaran dan penglihatan. Secara amnya, kanak-kanak ini memerlukan penilaian oleh seorang doktor pakar untuk menentukan aspek-aspek yang terlibat. Antara sebab yang berlakunya kelewatan perkembangan secara kekal adalah palsi serebral, masalah berkaitan otot, autisma, masalah berkaitan dengan bahasa, emosi, penglihatan dan pendengaran.

 

Antara tanda-tanda bahaya yang perlu dilihat dari satu umur ke umur yang lain adalah seperti berikut:

Umur Tanda –tanda bahaya
2 bulan
  1. Tiada respon untuk bunyi yang kuat
  2. Tiada senyuman kepada orang
  3. Tidak membawa tangan ke mulut
  4. Apabila dibaringkan di atas perut, bayi tidak dapat mengangkat kepala ke atas
4 bulan
  1. Mata tidak mengikut arah objek yang dipegang
  2. Tidak senyum kepda orang
  3. Apabila dalam posisi duduk, kepala masih belum dalam keadaan stabil
  4. Tiada sebarang bunyi-bunyian dibuat
  5. Tidak memasukkan objek ke dalam mulut
  6. Tidak dapat menolak kaki ke bawah apabila bayi dipegang berdiri dengan tapak kaki di atas permukaan yang keras
  7. Mempunyai masalah pergerakan sebelah mata atau kedua-dua mata dalam semua arah
6 bulan
  1. Tidak dapat mencapai objek dalam jangkauan
  2. Tidak menunjukkan perasaan kasih sayang kepada penjaga
  3. Mempunyai kesukaran untuk memasukkan objek ke dalalm mulut
  4. Tiada respon kepada bunyi di persekitaran
  5. Tiada bunyi-bunyian ‘vowel’ dibuat seperti ‘ah’, ‘eh’, ‘oh’
  6. Tidak dapat berpusing dari depan ke belakang atau belakang ke depan
  7. Tiada ketawa atau tiada bunyi-bunyian riang dibuat
  8. Badan terasa keras dengan otot-otot yang keras
  9. Badan sangat lembik seperti patung mainan kainan
9 bulan
  1. Tidak dapat menampung berat badan dengan kaki apabila dipegang berdiri
  2. Tidak dapat duduk dengan bantuan
  3. Tiada bunyi-bunyian seirama seperti ‘mama’, ‘papa’, ‘dada’
  4. Tiada respon apabila nama dipanggil
  5. Tidak dapat mengenali orang yang biasa dilihat
  6. Tidak melihat ke tempat yang ditunding
  7. Tidak memindahkan barang mainan dari satu tangan ke tangan yang lain
1 tahun
  1. Tidak merangkak
  2. Tidak dapat berdiri apabila dibantu
  3. Tidak mencari objek yang anda cuba lindung di hadapan kanak-kanak tersebut
  4. Tidak mengutarakan satu patah perkataan seperti ‘’ibu’, atau ‘ayah’
  5. Tidak mempelajari cara mengoyangkan kepala atau ‘bye-bye’ apabila ditunjukkan
  6. Tidak menunding jari ke objek
  7. Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
1 tahun 6 bulan
  1. Tidak menundingkan jari ke objek yang ingin ditunjukkan kepada yang lain
  2. Tidak dapat berjalan
  3. Tidak mengetahui kegunaan objek biasa yang dilihat di rumah
  4. Tidak meniru perilaku orang lain
  5. Tidak mempelajari perkataan baru
  6. Tidak dapat bercakap sekurang-kurangnya 6 patah perkataan
  7. Tidak mengendah atau tidak perasan apabila penjaga tidak berada di sisi
  8. Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
2 tahun
  1. Tidak menggunakan frasa dengan 2 patah perkataan seperti ‘nak susu’, ‘bagi bola’
  2. Tidak tahu kegunaan barangan biasa di rumah seperti berus gigi, telefon, garpu, sudu
  3. Tidak meniru perilaku dan perkataan
  4. Tidak dapat mengikut arahan mudah
  5. Tidak dapat berjalan dengan lancar
  6. Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
3 tahun
  1. Sentiasa jatuh atau tidak dapat menaiki tangga
  2. Pertuturan yang tidak jelas atau sentiasa mempunyai air liur yang mengalir dari mulut secara berlebihan
  3. Tidak dapat menggunakan alat permainan mudah
  4. Tidak bercakap dalam ayat
  5. Tidak memahami arahan mudah
  6. Tidak mahu bermain dengan barang permainan atau bermain dengan kanak-kanak lain
  7. Tidak bermain berimaginasi/olok-olok (contoh mengajuk bercakap dalam terlefon menggunakan kiub)
  8. Tidak melihat atau tiada kontek mata apabila melihat orang
  9. Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
4 tahun
  1. Tidak dapat melompat di satu tempat
  2. Mempunyai masalah menconteng
  3. Tidak menunjukkan keinginan untuk bermain imaginasi/olok-olok
  4. Tidak menghiraukan kanak-kanak lain atau tidak respon kepada orang selain dari ahli keluarga sendiri
  5. Tidak suka untuk dipakaikan baju, ditidurkan atau menggunakan tandas
  6. Tidak dapat menceritakan kembali cerita yang disukai
  7. Tidak dapat mengikut arahan dengan 3 tugasan (ambil patung dan beri kepada mama dan pergi ke pintu)
  8. Tidak memahami maksud ‘sama’ dan ‘berbeza’
  9. Tidak menggunakan ‘saya’ dan ‘anda’ dengan cara yang betul
  10. Pertuturan yang tidak jelas
  11. Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai
5 tahun
  1. Tidak dapat menunjukkan pelbagai emosi yang berbeza
  2. Menunjukkan kelakuan yang keterlaluan (terlampau takut, agresif, malu atau sedih)
  3. Tidak aktif dan tidak ingin berinteraksi
  4. Kurang perhatian, mempunyai masalah untuk fokus dalam sesuatu kerja atau aktiviti lebih dari 5 minit
  5. Tidak respon kepda orang atau respon yang bersahaja
  6. Tidak dapat membezakan antara yang ‘sahih’ dan ‘olok-olok’
  7. Tidak ingin bermain atau menyertai pelbagai permainan atau aktiviti
  8. Tidak dapat memberitahu namanya
  9. Tidak dapat menceritakan tentang aktiviti harian atau pengalaman harian
  10. Tidak dapat melukis gambar
  11. Tidak dapat memberus gigi, mencuci dan mengeringkan tangan, dan membuka pakaian tanpa bantuan orang lain
  12. Skil-skil yang pernah ada kini telah dilupai

 

 

 

Apa Fisioterapi Boleh Bantu

Fisioterapi boleh bantu anak-anak untuk menguatkan otot-otot yang mungkin sudah lemah dan melatih aktiviti yang menggunakan otot tersebut.

 

Rawatan Lain

Program intervensi awal – merangkumi pemulihan dalam perkembagan kanak-kanak yang memerlukan penumpuan dalam aspek pergerakan, pertuturan, penulisan serta sensori kanak-kanak

Pemulihan cara kerja – untuk proses adaptasi penggunaan peralatan untuk membantu kanak-kanak tersebut melakukan aktiviti harian

Audiologi dan pendengaran – untuk pemeriksaan pendengaran sekiranya kanak-kanak tersebut mengalamai masalah pertuturan yang mungkin disebabkan oleh masalah pendengaran

Pakar pertuturan dan bahasa – membantu dalam memberikan cara-cara untuk membantu pertuturan kanak-kanak itu yang mungkin lambat dengan pelbagai intervensi dan aktiviti